Assalamualaikum dan Salam sejahtera....
hari ini ulangtahun peristiwa Israk Mikraj. Maha Suci Allah.
Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah
ISRAK MIKRAJ
merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam selain Maulidur Rasul, Nisfu
Syaaban dan Nuzul Quran yang diraikan saban tahun.
Ia dianggap peristiwa
agung yang dialami Nabi Muhammad SAW sekali gus menzahirkan kekuasaan Allah
yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.
Ayat di atas
merupakan firman Allah yang diturunkan bagi menolak kaum musyrikin yang
mendustakan peristiwa Israk tatkala Nabi Muhammad SAW mengkhabarkannya kepada
mereka mengenai perjalanannya dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa.
Sementara Mikraj pula
merangkumi perjalanan Rasulullah SAW yang naik ke langit dengan menunggang
buraq sehingga sampai ke Sidratul Muntaha.
Peristiwa penting
Menurut pendakwah
bebas, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, ada tiga perkara penting yang perlu
diketahui dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Pertama tentang pengajaran yang
boleh diambil melalui ajaran Nabi SAW tentang konsep kehidupan yang dilihat.
“Contohnya, Baginda
melihat seorang perempuan tua hodoh yang diibarat sebagai dunia yang sudah
terlalu tua. Kemudian, pengajaran bagaimana Nabi dikejar oleh golongan jin
Ifrit dan malaikat Jibril mengajar doa yang perlu dibaca untuk berlindung
daripadanya.
“Selain itu, apabila
Nabi sampai di Masjid al-Aqsa, Baginda dihidangkan dengan dua pilihan minuman
iaitu arak dan susu. Akhirnya Nabi memilih susu.
“Begitu juga dengan
solat yang disyariatkan semula kepada Rasulullah sedangkan ibadat solat ada
dalam syariat nabi-nabi terdahulu. Semua itu merupakan pengajaran dan falsafah
hidup yang Nabi ajarkan kepada seluruh umatnya,” terang Muhammad ketika ditemui
Kosmo! baru-baru ini.
Perkara kedua, ujar
beliau, ialah ketika Nabi dibawa melawat syurga dan neraka. Ia adalah satu
bentuk peringatan tentang nasib orang yang berbuat dosa dan mereka yang taat.
KAWASAN di dalam Masjid as-Sakhra iaitu lokasi terletaknya batu
tergantung dalam peristiwa Israk Mikraj.
Tambahnya, perkara
ketiga pula ialah peristiwa Israk Mikraj yang membuktikan kebenaran Islam itu
sendiri sekali gus menunjukkan bahawa Allah itu Maha Berkuasa melakukan apa
sahaja hatta perkara yang disifatkan manusia sebagai mustahil.
Sering berulang-alik
ke bumi Palestin untuk membawa rombongan dari Malaysia dalam program Kembara
Universiti Kehidupan Al-Aqsa, Muhammad memberitahu, kesan peninggalan daripada
peristiwa Israk Mikraj memang berada dalam lingkungan kawasan Masjid al-Aqsa.
“Antaranya ialah tempat
tambatan buraq (haiq buraq), batu tergantung as-Sakhra dan kubah arwah iaitu
tempat Nabi SAW solat dengan para nabi terdahulu.
“Semua lokasi ini
masih dipelihara dan dijaga dengan baik. Cuma, ia menjadi perebutan antara
orang Islam dan Yahudi yang mendakwa di situ terletaknya Temple of Solomon.
Tetapi hakikatnya, Masjid al-Aqsa ialah milik umat Islam yang dipenuhi pelbagai
sejarah,” tegas Muhammad.
Bumi anbiya
Sejak tahun 2009,
Muhammad sudah membawa ratusan rakyat Malaysia mengunjungi bumi para anbiya itu.
Setiap peserta yang mengikuti program tersebut akan dibawa ke tempat-tempat
istimewa tersebut bagi menunjukkan kesan peninggalannya.
“Selain bersolat di
Masjid al-Aqsa, peserta turut diberi penerangan khusus mengenai setiap lokasi
yang dilawati kerana setiap jengkal bumi Palestin ini dipenuhi sejarah,” ujar
beliau yang bertuah kerana mengetahui sejarah Palestin daripada Imam I Masjid
al-Aqsa, Sheikh Yusoff Abu Sunainah yang menjadi imam selama 27 tahun di sana.
DI dinding inilah buraq iaitu kenderaan yang dinaiki Rasullulah ke
langit ditambat.
Sheikh Yusoff juga
tidak keberatan memberi surat bertulis tangan yang melantik Muhammad sebagai
Duta Perjalanan al-Aqsa sebagai tanda penghargaan kepada beliau.
Sementara itu,
Zulkifli Zainudin, 49, yang baru pulang dari Palestin hujung Mei lalu, mengakui
perasaannya seperti tidak percaya kerana berpeluang menjejaki bumi Baitulmuqaddis.
“Alhamdulillah, saya
bersyukur dan terharu kerana dapat menunaikan solat di dalam Masjid al-Aqsa,
salah satu daripada tiga masjid yang disunatkan oleh Rasulullah untuk
menziarahinya.
“Di sana, selain
beribadat di masjid, program kami tertumpu pada ziarah dan tabarruk di
makam-makam para Nabi dan auliya.
“Kawasan sekitar
peninggalan sejarah termasuk dalam peristiwa Israk Mikraj masih terjaga, namun
kemampuan pihak berwajib agak terhad disebabkan kekangan sumber kewangan,” kata
beliau yang berkunjung ke Palestin bersama agensi pelancongan Sofa Travel di
bawah bimbingan Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, Pengerusi Akidah Majlis
Agama Islam Negeri Sembilan.
Ujar Zulkifli lagi,
melalui program ziarah tersebut, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan dan
keimanan seseorang terhadap kekuasaan Allah SWT.
ZULKIFLI (kiri, baris tengah) menziarahi makam ulama dan para auliya di
Palestin.
Ziarah musafir
“Israk dan Mikraj
adalah satu peristiwa yang berkait rapat dengan tauhid dan kepercayaan kita
sebagai umat Islam. Justeru, dengan menjejaki semula kesan dan tapak
peninggalan dalam peristiwa tersebut, kita dapat menambahkan rasa kasih dan
cinta kepada Rasulullah SAW yang telah diangkat darjatnya ke peringkat
tertinggi daripada sekalian makhluk-Nya,” ungkap Zulkifli.
Dalam pada itu,
angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 41, turut
menyeru umat Islam yang berkemampuan agar melakukan ziarah bermusafir ke bumi
Palestin.
Beliau yang berada di
sana pada Mei lalu mengakui rasa seronok dan dapat memahami apa yang berlaku
dalam peristiwa Israk Mikraj dengan lebih mendalam.
“Sebelum ini, kita
sering dimomokkan dengan berita kekacauan dan huru-hara yang berlaku di
Palestin sehingga umat Islam di seluruh dunia dilarang menziarahi Masjid
al-Aqsa atas faktor keselamatan.
“Memang benar ada
kawalan ketat daripada tentera Israel, tetapi masih ada ruang untuk kita
beribadat di sana. Yakinlah bahawa Allah akan menjaga kita jika niat kita
adalah untuk beribadah di sana,” kata Sheikh Muszaphar yang pergi ke Palestin
bersama rombongan Program Angkasawan Malaysia kendaliannya.
Beliau turut membawa
isterinya, Dr. Halina Mohd. Yunos, 32, serta dua anaknya, Sophea Isabella, 2,
dan Sophea Natasya, empat bulan.
sumber ;