Saya mengalami
masalah senggugut yang teruk. Saya ada terdengar mereka yang mengalami masalah
ini akan sukar hamil kelak. Saya rungsing jika perkara ini benar. Mohon doktor
perjelaskan? - Ramlah, Kuala Lumpur.
Kesakitan semasa
haid atau senggugut ialah satu gejala biasa dialami seseorang wanita. Kesakitan
ini disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat.
Proses ini
bertujuan bagi mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit
tisu daripada selaput endometrium (dinding rahim).
Darah ini perlu
dikeluarkan melalui saluran pangkal rahim (serviks). Kebiasaannya, pangkal
rahim yang dimiliki oleh seorang gadis remaja masih sempit. Senggugut sering
menyerang seorang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Masalah akibat
senggugut bukan sekadar kesakitan teruk ketika haid, tetapi petanda penting
supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi
mengesan kewujudan masalah endometriosis.
Terdapat dua
jenis senggugut, iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut
primer disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin (sejenis bahan kimia dalam
darah) yang menyebabkan penguncupan dinding rahim yang kuat. Manakala senggugut
sekunder pula mungkin disebabkan oleh masalah endometriosis. Endometriosis pula
merujuk kepada keadaan lapisan tisu yang melitupi bahagian di dalam rahim
didapati tumbuh di luar rahim atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi
wanita.
Walaupun punca
sebenar endometriosis kekal tidak diketahui, ada teori yang mengatakan
disebabkan pendarahan haid yang berundur atau menyongsang (retrograde
menstruation) ke dalam pelvis, aras hormon estrogen yang berlebihan, tisu
endometriosis juga boleh merebak melalui salur darah dan tumbuh di
tempat-tempat yang jauh dari rahim seperti di dalam paru-paru atau otak dan
juga teori metaplasia.
Bagi mengetahui
punca sebenar, sebaik-baiknya anda perlu diperiksa oleh doktor pakar sakit
puan. Selain daripada ujian imbasan ultrabunyi (ultrasound) untuk melihat jika
ada sista (pembengkakan ovari), ujian laparoskopi juga boleh dilakukan untuk
memastikan sama ada disebabkan endometriosis dan untuk melihat jika terdapat
pelekatan dan penyumbatan pada salur fallopio. Jika diagnosis yang dibuat
doktor ialah endometriosis, ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengubati
keadaan ini dan cara terbaik ialah jika wanita tersebut cepat hamil.
Sebab-sebab
lain senggugut ialah jangkitan pada bahagian pelvik (pelvic inflammatory
disease) dan juga boleh disebabkan masalah fibroid. Anda perlu menjalani
pemeriksaan yang teliti supaya penyakit ini tidak melarat.
Namun, terdapat
sebilangan kecil daripada mereka yang akan menghadapi masalah ketidaksuburan
dan mudah mengalami keguguran sekiranya senggugut berlaku secara berterusan.
Mereka ini berkemungkinan besar menghidap penyakit endometriosis iaitu sejenis penyakit
yang sering dikaitkan dengan masalah kesuburan.
No comments:
Post a Comment